KOTA KINABALU: ADUN Likas, Tham Yun Fook berkata pengagihan bantuan dan peruntukan pendidikan negara perlu dibuat berdasarkan tiga wilayah utama iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan Sabah tidak terus tercicir dalam agenda pembangunan pendidikan negara.
Menurutnya, Sabah masih berdepan pelbagai cabaran termasuk sekolah daif, capaian internet lemah, kekurangan guru serta kemudahan pembelajaran yang tidak mencukupi terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Sabah mempunyai cabaran geografi dan pembangunan yang berbeza, maka dasar pendidikan nasional tidak boleh menggunakan pendekatan ‘one size fits all’,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Guru 2026.
Tham turut mempersoalkan jumlah sebenar peruntukan kepada Sabah daripada RM7.9 bilion yang diumumkan kerajaan bagi memperkukuh ekosistem TVET menerusi Belanjawan 2026.
Beliau berharap Kementerian Pendidikan Malaysia dapat memberi perhatian lebih agresif kepada Sabah termasuk dalam aspek pembangunan sekolah, latihan guru, kemudahan digital dan biasiswa pendidikan.
