Warisan gesa MPP periksa panel kaca, selenggara longkang Bundusan Plaza

PENAMPANG: Parti Warisan Bahagian Penampang menggesa Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Penampang (MPP) menjalankan pemeriksaan segera terhadap struktur panel kaca di tingkat atas Beverly Hills Plaza yang didakwa boleh mengancam keselamatan orang awam.

Penyelaras Pusat Daerah Mengundi (PDM) Nosoob 2, Clarence Chong berkata, pihaknya menerima aduan daripada peniaga selepas satu panel kaca dilaporkan terjatuh ke laluan pejalan kaki, namun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan.

Katanya, pemeriksaan turut mendapati satu lagi bingkai kaca di tingkat atas mengalami kerosakan dan dikhuatiri boleh tercabut ketika angin kencang.

Sementara itu, Ketua Wanita Warisan Penampang, Junny C. Simol turut menggesa pihak berkuasa menyelenggara sistem perparitan di Bundusan Plaza yang didakwa dipenuhi air bertakung, berbau busuk serta menjadi habitat biawak.

Beliau berkata, keadaan itu menjejaskan kebersihan kawasan dan memberi imej negatif terhadap pengurusan aset komersial di daerah berkenaan.