Liew galas amanah besar perkukuh GRS di Pantai Timur

KOTA KINABALU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah menyifatkan pelantikannya sebagai Pengerusi Zon Enam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh komitmen bagi memastikan kekuatan gabungan itu terus diperkukuhkan khususnya di Pantai Timur Sabah.

Beliau berkata, pelantikan yang diumumkan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS semalam mencerminkan keyakinan kepimpinan tertinggi gabungan terhadap kemampuan beliau untuk menyelaras gerak kerja parti-parti komponen serta memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera di zon berkenaan.

Menurutnya, fokus utama yang akan diberikan perhatian ialah memastikan seluruh parti komponen GRS bergerak sebagai satu pasukan yang mantap, tersusun dan mempunyai hala tuju yang sama dalam memperjuangkan agenda rakyat serta pembangunan Sabah.

“Pelantikan ini bukan sekadar satu penghormatan, tetapi amanah yang besar. Saya melihat tanggungjawab ini sebagai peluang untuk memperkukuhkan lagi kesepakatan dalam kalangan parti-parti komponen GRS serta memastikan setiap jentera sentiasa bersedia menghadapi apa jua cabaran politik pada masa hadapan.

“Walaupun tempoh Parlimen hanya akan berakhir pada penghujung tahun depan, kita tidak boleh mengambil sikap selesa. Persiapan perlu dilakukan lebih awal supaya segala gerak kerja dapat disusun dengan lebih teratur dan berkesan,” katanya ketika mengulas pelantikan tersebut hari ini.

Liew berkata, beliau akan melaksanakan naziran dan pemantauan secara berkala terhadap laporan kesiapsiagaan jentera di setiap kawasan Parlimen di bawah Zon Enam bagi memastikan semua perancangan yang dirangka dapat dilaksanakan dengan baik.

Katanya, kekuatan sebenar GRS bukan hanya terletak pada jumlah parti komponen yang berada dalam gabungan itu, tetapi lebih penting ialah semangat perpaduan, kesetiaan dan kerjasama yang menjadi asas kepada kestabilan politik Sabah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut beliau, rakyat hari ini mahukan sebuah kerajaan yang stabil, bersatu dan mampu membawa pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada kehidupan mereka.

“Rakyat menilai kita berdasarkan prestasi dan keupayaan untuk menyelesaikan masalah mereka. Sebab itu, perpaduan dalam kalangan parti-parti komponen GRS serta kerjasama erat dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan Sabah perlu terus diperkukuhkan.

“Apabila kita bersatu, kita mempunyai kekuatan yang lebih besar untuk membawa suara rakyat, mempertahankan hak Sabah dan memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik yang dinikmati Sabah ketika ini perlu dipertahankan kerana ia menjadi asas penting dalam menarik pelaburan, merancakkan ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Katanya, GRS perlu terus tampil sebagai gabungan politik yang matang, inklusif dan berpaksikan kepentingan rakyat, selaras dengan aspirasi untuk membawa Sabah ke arah yang lebih maju dan sejahtera.

“Matlamat kita bukan sekadar menghadapi pilihan raya, tetapi memastikan Sabah terus berada di landasan pembangunan yang betul. Kekuatan GRS perlu diterjemahkan kepada kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri ini,” katanya.