104 PTI ditahan dalam operasi di kawasan Keningau

KOTA KINABALU : Seramai 104 Pendatang Tanpa Izin (PTI) berjaya ditahan dalam operasi dijalankan di sekitar kawasan Keningau, di sini awal semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, operasi selama empat jam bermula jam 12 tengah malam itu memeriksa 159 individu.

Katanya, hasil pemeriksaan terbabit, seramai 87 warga Indonesia dan 17 warga Filipina ditahan disebabkan kesalahan tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa.

“Tahanan membabitkan 33 lelaki, 37 wanita dan 34 kanak-kanak serta bayi berusia lingkungan lima bulan hingga 83 tahun.

“Semua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Papar, Sabah untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

SH Sitti Saleha berkata, tindakan beberapa PTI menggunakan aplikasi WhatsApp untuk berkongsi maklumat serbuan memberi cabaran kepada pasukan operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Maklumat dikongsikan melalui whatsapp dalam kalangan warga asing itu memberi peluang kepada mereka untuk lari atau bersembunyi.

“Keadaan bentuk muka bumi kawasan operasi yang berbukit, berlumpur dan kawasan yang sangat luas turut menyukarkan aktiviti operasi,” jelas SH Sitti Saleha.

Menurutnya, warga asing lebih peka terhadap pergerakan pegawai operasi mereka menggunakan media sosial seperti aplikasi whatsapp untuk menyebarkan maklumat semasa keberadaan pegawai operasi.