Warisan dakwa penghijrahan Taib Isai sudah dijangka, kata Lorreto

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah mendakwa keputusan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT), Mohd Taib Isai dan beberapa pemimpin lain meninggalkan parti bukan sesuatu yang mengejutkan.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr berkata, perkara itu telah dijangka sejak selepas pengumuman calon pilihan raya lalu dan tidak memberi kesan besar terhadap hala tuju parti.

Beliau berkata, Warisan menghormati keputusan yang dibuat oleh Mohd Taib dan rakan-rakannya, namun menegaskan tindakan mengkritik kepimpinan parti selepas keluar adalah tidak wajar.

Menurutnya, proses pemilihan calon sentiasa menjadi cabaran kepada mana-mana parti politik kerana tidak semua pemimpin yang layak dapat diberikan peluang bertanding.

Loretto berkata, Warisan kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan jentera parti serta memastikan cawangan dan bahagian terus aktif mendekati rakyat.

Beliau turut mengingatkan bahawa perjuangan politik tidak seharusnya bergantung kepada individu tertentu kerana kekuatan sebenar sesebuah parti terletak pada ahli dan akar umbinya.

“Politik sentiasa berubah. Ada yang datang dan ada yang pergi. Namun perjuangan untuk rakyat Sabah mesti diteruskan,” katanya.