PUTATAN: Sebanyak 31 ekor lembu korban diagihkan kepada masjid, surau dan beberapa agensi kerajaan terpilih di kawasan Parlimen Putatan sempena Aidiladha tahun ini.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata, program tahunan itu bertujuan menyemarakkan penghayatan ibadah korban selain memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, agihan melibatkan penerima yang telah dikenal pasti di seluruh kawasan Parlimen Putatan.
Katanya, sambutan Aidiladha bukan sekadar perayaan, sebaliknya platform untuk menghayati nilai pengorbanan, keikhlasan dan semangat membantu golongan yang memerlukan.
Beliau turut menggesa jawatankuasa korban memastikan pengagihan daging dilaksanakan secara tersusun dan saksama kepada penerima yang layak.
