PUTATAN: Pendidikan yang berkualiti dan bermutu tinggi menjadi asas penting dalam melahirkan generasi berilmu, berdaya saing serta mampu memacu pembangunan masyarakat di Tanjung Keramat pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, usaha memperkasakan sektor pendidikan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, pihak sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat bagi memastikan kecemerlangan pendidikan dapat dicapai secara menyeluruh.
Beliau berkata, aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) dan SMJ 2.0 yang diperkenalkan kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada pembangunan pendidikan sebagai antara agenda utama dalam melahirkan modal insan berkualiti.
“Dengan adanya lonjakan pendidikan yang bermutu di Putatan khususnya di Tanjung Keramat, pelajar mampu menjadi generasi intelek yang bakal menerajui kepimpinan dan pembangunan negeri pada masa hadapan.
“Pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat SMK Putatan, di sini, pada Jumaat.
Menurut Shah Alfie, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan sekolah-sekolah di kawasan Tanjung Keramat menerusi pelbagai bantuan termasuk penambahbaikan prasarana sekolah, sumbangan peralatan pembelajaran dan program pembangunan pendidikan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para guru yang disifatkan sebagai tunjang utama dalam membentuk generasi masa depan negara.
