KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) mendakwa kandungan yang disiarkan oleh MAWAR Channel berhubung Projek Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR) di Sipitang mengandungi dakwaan tidak tepat serta berpotensi mengelirukan rakyat mengenai operasi sebenar loji berkenaan.
Dalam satu kenyataan, PGRS berkata dakwaan bahawa ammonia dan urea dari Sabah dihantar ke Semenanjung Malaysia untuk diproses menjadi baja adalah tidak benar kerana loji SAMUR di Sipitang menghasilkan baja urea siap sepenuhnya di Sabah.
Menurut kenyataan itu, produk yang dihasilkan dipasarkan ke pasaran domestik dan antarabangsa berdasarkan pertimbangan komersial.
PGRS turut membantah penggunaan imej Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dalam bahan yang disifatkan sebagai berunsur politik.
“Institusi TYT Sabah perlu dihormati dan tidak seharusnya dikaitkan dengan propaganda politik yang boleh mengelirukan rakyat,” menurut kenyataan itu.
PGRS berkata perkara tersebut akan dirujuk kepada peguam bagi meneliti tindakan undang-undang yang bersesuaian.
Pada masa sama, parti itu menegaskan Sabah kini mempunyai kepentingan langsung dalam loji SAMUR melalui pegangan 25 peratus ekuiti oleh SMJ Energy, yang menurutnya mampu memberikan pulangan komersial dan manfaat ekonomi kepada negeri.
