KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 313 kes baharu Covid-19 hari ini, naik 62 kes berbanding kelmarin (251).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun (gambar) berkata, kes harian yang semakin naik adalah sejajar dengan trend pertambahan jangkitan baharu di lebih banyak daerah di Sabah.
Katanya, 14 daerah mencatatkan pertambahan hari ini yang didahului Kota Kinabalu dengan 104 kes baharu, 40 kes lebih tinggi daripada sebelumnya.
“Putatan (30), Papar (28) dan Penampang (23) semuanya mencatatkan peningkatan jangkitan baharu. Daerah-daerah yang mencatatkan penurunan kes harian adalah pada kadar yang marginal. Telupid, Tongod dan Nabawan tidak mencatatkan sebarang kes baharu,”kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.
Menurutnya, peratusan jangkitan sporadik kembali naik hari ini dengan 64.22% daripada jumlah keseluruhan kes baharu.
“Ini bermakna risiko jangkitan virus Covid-19 di kalangan masyarakat juga semakin tinggi. Sekali lagi rakyat diperingatkan agar sentiasa mematuhi semua SOP khususnya semasa berada dikhalayak ramai lebih-lebih lagi di tempat-tempat yang sesak,” ujarnya.
Seramai 305 orang atau 97.45% daripada 313 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, manakal dua orang berada dalam Kategori 3, tiga orang dalam Kategori 4 dan tiga pesakit dalam Kategori 5.