Cadangan Penubuhan BCAA ‘Berita Baik’ Tangani Isu Kenaikan Tambang Perkhdimatan Udara di Sabah – Marlina

KOTA KINABALU: Cadangan Penubuhan Autoriti Penerbangan Awam Borneo (BCAA) dilihat merupakan langkah terbaik bagi mengawal selia serta menjaga industri penerbangan membabitkan negeri di Sabah dan Sarawak.

Timbalannya Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Sabah, Marlina Majid berkata, cadangan ini ‘Berita Baik’ kepada rakyat Sabah dan Sarawak memandangkan kedua-dua negeri ini seringkali terlibat menggunakan perkhidmatan udara di negeri ini.

Katanya, sejak sekian lama rakyat Sabah terutamanya sangat terbeban dengan kadar harga tambang yang tidak munasabah lebih-lebih lagi ketika musim perayaan serta cuti persekolahan.

“Apabila BCAA diwujudkan ia mampu menjaga kepentingan Sabah dan Sarawak dengan membabitkan rakyat Malaysia yang berulangalik ke negeri-negeri Borneo pada kadar yang munasabah tanpa mengira musim perayaan atau cuti persekolahan.

“Sebagai contoh baru-baru ini timbul isu kenaikan tambang perkhidmatan udara bagi perjalanan Kuala Lumpur ke Tawau sehingga mencecah beribu ringgat adalah tidak munasabah.

“Adalah tidak adil mengapa penduduk Sabah dan Sarawak hanya terpaksa menanggung masalah ini sedangkan mereka atau pihak berwajib boleh menyelesaikan isu ini dalam tempoh jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Marlina berkata, hari ini juga kadar tambang pengangkutan udara dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur masih mahal sehingga mencecah RM3,000 sehala seorang.

“Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, sepatutnya pengendali perkhidmatan tambang udara ini lebih mengutamakan rakyat selaras dengan slogan Perdana Menteri Malaysia Madani.

“Kami mewakili PERKASA Sabah sangat mengalu-alukan cadangan BCAA ini yang akan memberi tumpuan kepada mengawal selia dengan menjaga kepentingan terbaik industri penerbangan di kedua-dua negeri di Borneo,” katanya.

Menurutnya, perjalanan udara juga sangat penting terutamanya kepada Sabah, kerana pelancongan antarabangsa adalah sektor utama ekonomi Sabah dan Sarawak.

“Kita jangkakan penubuhan BCAA akan mengatasi masalah berkaitan tambang tinggi khususnya dalam sektor penerbangan membabitkan rakyat Sabah dan Sarawak ketika perayaan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.