KOTA KINABALU: Penduduk Kampung Tangkarason, Paitan mendakwa mereka terpaksa menggunakan laluan milik sebuah estet yang mengenakan bayaran RM10 bagi setiap kemasukan selepas jalan kampung yang menghubungkan Kampung Tangkarason, Kampung Bawang dan jalan utama didakwa rosak serta gagal diselenggara sejak sekian lama.
Seorang penduduk yang membuat aduan kepada Sabah News Today (SNT), Mosingkan Matahu, berkata keadaan jalan yang tidak ditabur batu dan tidak pernah dinaik taraf menyebabkan ia sukar dilalui, sekali gus memaksa penduduk bergantung sepenuhnya kepada laluan alternatif milik estet.
Menurutnya, laluan itu hanya dibuka dari jam 6 pagi hingga 10 malam, sekali gus menimbulkan kebimbangan sekiranya berlaku kecemasan pada lewat malam atau awal pagi.
Beliau mendakwa keluarganya pernah berdepan detik hitam apabila adiknya jatuh sakit pada tengah malam dan tidak dapat dibawa segera ke Hospital Pitas kerana pintu masuk laluan estet telah ditutup.
“Dalam keadaan cemas kami tidak mempunyai laluan lain. Kami terpaksa menunggu sehingga pintu dibuka pada waktu pagi sebelum dapat membawa adik ke hospital.
“Akibat kelewatan mendapatkan rawatan, adik saya akhirnya meninggal dunia. Saya tidak mahu tragedi seperti ini berulang kepada penduduk lain,” dakwanya.
Mosingkan berkata, masalah itu bukan sahaja menjejaskan penduduk Kampung Tangkarason, malah turut memberi kesan kepada penduduk Kampung Bawang yang menggunakan laluan sama untuk urusan harian.
Katanya, laluan berkenaan juga menjadi akses utama ke Klinik Kesihatan Tangkarason, Sekolah Kebangsaan Tangkarason dan Sekolah Kebangsaan Bawang, termasuk pelajar sekolah menengah Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga.
Beliau berharap kerajaan negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah Paitan dan wakil rakyat kawasan segera mengambil tindakan menaik taraf jalan berkenaan agar penduduk tidak lagi bergantung kepada laluan persendirian yang mempunyai syarat serta waktu operasi tertentu.
“Kami hanya mahu sebuah jalan yang selamat, boleh dilalui pada bila-bila masa dan tidak lagi mengancam nyawa penduduk apabila berlaku kecemasan,” katanya.
Kawasan Kampung Tangkarason terletak di DUN Sugut dalam Parlimen Beluran. Penduduk berharap isu berkenaan diberi perhatian segera demi memastikan kemudahan asas serta keselamatan masyarakat luar bandar terus terpelihara.
