3 maut akibat kereta lawan arus

PENAMPANG: Tiga lelaki berusia 17 hingga 58 tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Papar Lama, dekat Nambazan, malam tadi.

Ketua Polis Penampang, Mohd Haris Ibrahim, dalam kenyataan berkata kejadian pada 11.10 malam itu berlaku apabila sebuah kereta dipandu melawan arus dan memasuki lorong bertentangan sehingga menyebabkan pertembungan dengan sebuah lagi kereta.

Katanya, kedua-dua kenderaan terbabit iaitu jenis Naza Kia dan Perodua Myvi rosak teruk pada bahagian hadapan.

Beliau berkata, ketiga-tiga individu itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang kanak-kanak lelaki hanya mengalami cedera ringan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.