JANS Perlu Operasi Secara Bersepadu Benteras Kegiatan Penyambungan Paip Haram Di Sabah – Mohd Halim

KOTA KINABALU:: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) disaran agar meningkatkan operasi pemantauan serta penguatkuasaan bagi membenteras kegiatan kes penyambungan paip haram di negeri ini.

Seorang pesara kerajaan, Mohd Halim Mohd Ali, 63, berkata, kejadian sekeping gambar tular melibatkan kes penyambungan paip haram di Sepanggar dilhat sangat menyedihkan sekali gus berkemungkinan berlaku di kawasan lain di Sabah,

Katanya, pengguna berdaftar terpaksa membayar bill air secara berkala manakala pencuri ini hanya menggunakan air secara percuma sejak sekian lamanya.

“Jika pengguna berdaftar gagal membayar bill tersebut, penguatkuasa JANS terus memotong perkhidmatan dan hanya membuat penyambungan semula dalam tempoh 24 jam selepas bill dijelaskan.

“Namun pencuri air ini yang rata-ratanya menghuni kawasan setinggan secara sesuka hati menggunakan perkhidmatan ini secara percuma…Mungkin ada dalam kalangan mereka sudah bertahun-tahun menikmati air haram ini, sehingga tidak takut kepada penguatkuasaan undang-undang di negeri ini.

“Kita melihat ini meeupakan punca utama tekanan air rendah berikutan wujudnya kegiatan penyambungan haram. Namun kita ingin bertanya kepada JANS apa jaminan kepada perkara ini agar tidak berlaku lagi,”katanya kepada Sabah News Today hari ini.

Mohd Halim berkata, pihaknya tidak pernah mendengar ada tangkapan membabitkan individu membuat penyambungan paip haram serta mendakwa mereka di mahkamah.

“Adalah sangat tidak adil perkara ini dibiarkan begitu sahaja…Jika JANS memotong bekalan mereka hari ini, kemungkinan besar pencuri air haram ini akan menyambung semula bekalan air mereka.

“Ini kerana pihak penguatkuasa JANS gagal membuat tangkapan. Kita cadangkan agar ada operasi secara bersepadu, melibatkan Polis, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta agensi kerajaan supaya mereka boleh mengambil tindakan undang-undang berdasarkan peruntukkan akta sedia ada,” katanya.

Dalam laporan semalam, JANS melancarkan operasi memotong serta membenteras kegiatan penyambungan paip haram di Jalan Sulaman Sepanggar.

Sebelum ini, portal online Sabah News Today memaparkan gambar tular berhubung kegiatan penyambungan paip haram sekali gus mendapat perhatian daripada pihak berkuasa.