Projek Madani Link tingkat kestabilan bekalan elektrik Sabah – Hajiji

SIPITANG: Projek Sabah Southern MADANI Link dijangka meningkatkan kestabilan bekalan elektrik Sabah sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

Beliau berkata, projek itu akan memperkukuh jaringan penghantaran elektrik, meningkatkan kebolehpercayaan sistem grid serta menyediakan kapasiti tambahan bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat.

Menurutnya, pembangunan sektor tenaga kini menjadi keutamaan kerana ia berkait rapat dengan usaha menarik pelaburan baharu dan memperluaskan aktiviti ekonomi di negeri ini.

“Pembangunan tenaga bukan lagi sekadar memenuhi keperluan semasa tetapi menjadi asas kepada perancangan masa depan Sabah,” katanya pada Majlis Peluncuran Projek Sabah Southern MADANI Link yang disempurnakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut memberi fokus kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui menerusi pelaksanaan Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SE-RAMP) 2040.