KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 114 warga asing dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di tiga daerah utama iaitu Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.
Operasi yang dijalankan menerusi Ops Bersepadu, Ops Sapu, Ops Mahir, Ops Kutip, Ops Belanja dan Ops Jaja itu bertujuan mengesan serta membanteras pelanggaran undang-undang imigresen.
Menurut JIM Sabah, seramai 258 individu telah diperiksa dalam operasi berkenaan dengan 114 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Daripada jumlah itu, seramai 61 warga asing ditahan di Tawau, 35 di Lahad Datu dan 18 lagi di Sandakan.
Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Filipina, Indonesia dan Pakistan yang dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan sah atau melanggar syarat pas yang dibenarkan.
JIM Sabah menegaskan pihaknya akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan kedaulatan undang-undang negara terus terpelihara.
