KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook mempersoalkan kelewatan tindakan pihak berkuasa terhadap pertambahan penempatan setinggan haram di belakang Kingfisher Sulaman dan Likas Square yang didakwa semakin membimbangkan.
Beliau berkata, isu itu bukan lagi perkara baharu kerana telah berlarutan bertahun-tahun meskipun kerajaan negeri sendiri mengakui kewujudan penempatan berkenaan melalui jawapan bertulis yang diberikan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini.
“Apabila kerajaan sendiri mengakui kewujudan masalah ini, persoalannya mengapa ia masih berterusan dan semakin bertambah?
“Rakyat mahu melihat tindakan konkrit, bukan sekadar pengakuan bahawa masalah itu wujud,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Tham, penempatan setinggan di tengah bandar raya Kota Kinabalu memberi kesan kepada imej ibu negeri selain menimbulkan isu kebersihan, keselamatan, pencemaran dan risiko kebakaran.
Beliau menggesa kerajaan negeri, DBKK dan agensi berkaitan melaksanakan pelan tindakan menyeluruh bagi menangani isu tersebut secara berkesan dan berpanjangan.
