Mangsa hanyut di Kota Belud ditemukan meninggal dunia

KOTA BELUD: Seorang lelaki yang hilang selepas dihanyutkan arus sungai ketika beriadah bersama rakan-rakannya di Kampung Tambatuon, Kota Belud ditemukan meninggal dunia hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Abner Lasmel, 24, dan ditemukan orang awam kira-kira jam 7 pagi pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

Menurut pihak bomba, mangsa ditemui kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang akibat dibawa arus deras.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut selepas disahkan meninggal dunia.

Operasi SAR yang bermula petang semalam ditamatkan sepenuhnya selepas mangsa berjaya ditemukan.