Jumlah penagih dadah di Sabah menurun 5.9 peratus – Hajiji

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan penurunan sebanyak 5.9 peratus jumlah penagih dan penyalah guna dadah yang dikesan sepanjang tahun lalu, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

Menurut beliau, jumlah yang direkodkan pada 2025 ialah 8,665 orang berbanding 9,607 orang pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, Sabah turut mencatatkan kadar terbaik di negara ini dengan kadar penagih dan penyalah guna dadah seramai 230 orang.

Hajiji berkata, perkembangan itu mencerminkan keberkesanan program pencegahan, penguatkuasaan dan kerjasama pelbagai pihak dalam membanteras ancaman dadah.

“Kerajaan negeri akan terus menyokong agenda Dadah Terkawal 2030 serta memperkukuh usaha membanteras penyalahgunaan dadah di Sabah,” katanya.