PENAMPANG: Kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi berjaya dipatahkan selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menyerbu sebuah stor di Jalan Kobusak, di sini.
Dalam operasi menerusi Ops Tiris 4.0 itu, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan.
Turut dirampas ialah 2,775 liter diesel bersubsidi, sebuah Mitsubishi Triton, beberapa unit tangki IBC dan pelbagai peralatan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM158,826.75.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
PPM Wilayah 4 Sabah berkata pihaknya akan terus memperhebat operasi bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan di seluruh negeri.
