KOTA KINABALU: Sabah menjadi pilihan pelabur asing untuk melabur dalam pelbagai sektor ekonomi di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antara sektor yang menjadi pilihan pelabur asing ialah minyak dan gas, tenaga, pertanian, perikanan, pelancongan dan pembuatan.
“Kerajaan Negeri mengalu-alukan pelabur asing yang berminat dan bersedia untuk melabur di Sabah, untuk melihat dan membangunkan sektor berpotensi di negeri ini yang kaya dengan sumber asli dan persekitaran yang indah,” katanya.
Hajiji menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Republik China ke Malaysia, Ouyang Yujing, Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud Haji Saidin dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, MD Golam Sarwar.
Hajiji berharap pelancong asing khususnya dari China, Brunei Darussalam dan negara luar lain akan terus memilih Sabah sebagai destinasi percutian mereka.
Semasa lawatan itu, Ouyang memberitahu Hajiji bahawa Sabah sangat terkenal di kalangan orang China kerana keindahan alam semula jadi yang ada di negeri ini.
Beliau juga berharap Kerajaan dan pengusaha pelancongan di Sabah akan mengadakan lebih banyak promosi di bandar-bandar utama di China bagi menarik lebih ramai pelancong dari negara itu ke Sabah.
Ouyang berkata beberapa sektor yang berpotensi diterokai oleh pelabur dan peniaga dari China di Sabah ialah industri minyak dan gas, tenaga, pertanian, perikanan, ekonomi digital dan industri berteknologi tinggi.
Menurutnya, sektor infrastruktur di Sabah yang berpotensi untuk diterokai oleh syarikat kejuruteraan dan pembinaan dari China seperti pembinaan pelabuhan, lapangan terbang, lebuh raya dan lain-lain.
Beliau juga akan membawa syarikat kejuruteraan dan pembinaan multinasional China yang telah menubuhkan syarikat mereka di Kuala Lumpur dan dari China ke Sabah untuk meneroka peluang pelaburan di negeri itu.
Ouyang yang dilantik sebagai Duta Besar Republik China ke Malaysia pada 2021 turut menjemput Hajiji mengetuai delegasi Sabah melawat China.