Kertas Cadangan Pengurusan sungai secara efisien akan diwujudkan segera – Christina

KOTA KINABALU : Pengurusan sungai secara efisien diperlukan bagi memastikan peningkatan terhadap bekalan Pasir serta batu sungai semakin meningkat dapat dikawal agar selaras dengan aktiviti pembangunan di negeri ini.

Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, usaha ini penting agar sistem pengurusan sungai dapat di Sabah dipertingkatkan demi kesejahteraan alam sekitar di Sabah.

Katanya, selaras ke arah usaha tersebut Jabatan Perlindungan Alam  Sekitar (JAS) mengambil inisiatif menghasilkan satu pelan hala tuju  jelas serta komprehensif dalam pengurusan sungai di seluruh negeri ini.

“Ini termasuklah usaha untuk mengawal kualiti air sungai agar kelestarian ekosistem semulajadi sungai sentiasa terjamin.

“Kita maklum, sungai di Sabah memainkan peranan penting, selain daripada membekalkan sumber air kepada penduduk malah ia menjadi sumber sosio-ekonomi penduduk tempatan termasuk aktiviti perikanan dan pelancongan,” katanya merasmikan Bengkel Hala Tuju Pengurusan Sungai-Sungai di Sabah di sini hari ini.

Christina berkata, ekosistem sungai termasuk kawasan riparian, iaitu kawasan di sekitar sungai juga perlu dilindungi bagi menjamin kestabilan ekosistem serta perlindungan biodiversiti khususnya habitat kepada pelbagai hidupan liar.

“Penganjuran bengkel ini juga sememangnya tepat pada masanya   bersempena bulan sambutan Hari Sungai Sedunia disambut pada bulan September setiap tahun di seluruh dunia.  

“Bengkel hari ini, terdapat lima taklimat disampaikan berkaitan topik pengurusan sungai oleh beberapa wakil jabatan serta agensi teknikal negeri Sabah serta pakar dalam berkaitan,” jelas Christina.

Menurutnya, beliau yakin dengan komitmen semua pihak hasil bengkel ini akan memberikan impak positif terhadap pengurusan sungai-sungai di seluruh negeri Sabah.

“Kertas Cadangan yang terhasil daripada bengkel pada hari ini akan saya ketengahkan kepada pihak berkaitan, agar dapat direalisasikan dalam kadar segera,” kata Christina.