Kerajaan Sabah Diseru Lebih Agresif Tarik Pelancong Asing – Justin Wong

TAWAU: Timbalan Ketua Penerangan Parti Warisan, Justin Wong, mempersoalkan sejauh mana kerajaan negeri benar-benar agresif dalam mencapai sasaran 3.5 juta pelancong ke Sabah pada tahun 2025, memandangkan peningkatan pelancong antarabangsa ketika ini masih tertumpu kepada beberapa negara tertentu sahaja.

Beliau berkata, berdasarkan data Lembaga Pelancongan Sabah, pelancong dari China, Jepun, Taiwan, Australia dan United Kingdom mendominasi pasaran dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini — namun usaha menarik pelancong dari negara lain dilihat masih longgar.

“Adakah kerajaan mempunyai dasar khusus untuk memperluas pasaran pelancongan ke negara lain? Jika tidak, sasaran 3.5 juta pelancong itu akan kekal pasif dan sukar dicapai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, industri pelancongan Sabah yang menyumbang hampir 15 peratus kepada KDNK negeri sepatutnya dijadikan pemangkin utama pertumbuhan ekonomi, terutama menjelang Tahun Melawat Sabah akan datang.

Beliau turut menyarankan kerajaan negeri memanfaatkan peluang sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dihoskan Malaysia bagi memperkenalkan Sabah kepada pemimpin serantau dan antarabangsa.

“Sabah berpotensi menjadi destinasi utama pelancongan Asia Tenggara jika promosi dibuat secara menyeluruh. Pemulihan laluan penerbangan seperti Tawau–Tarakan dan Zamboanga–Sandakan juga penting untuk menarik pelancong serantau,” ujarnya.

Justin menegaskan, sekiranya Parti Warisan kembali mentadbir, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan penggiat industri pelancongan untuk melonjakkan sektor itu ke tahap yang lebih tinggi.