Pelantikan pengerusi TDA pengiktirafan kepada anak Sabah, kata Liew Yun Fah

KOTA KINABALU: Pelantikan Tan Sri Liew Yun sebagai Pengerusi Technology Depository Agency (TDA) disifatkan sebagai pengiktirafan besar kepada anak Sabah, selain membuka ruang memperkukuh pembangunan ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi.

Liew berkata, amanah menerajui agensi strategik itu membuktikan keyakinan kerajaan terhadap kemampuan anak Sabah untuk memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara yang dipacu teknologi.

“Ini bukan sekadar penghormatan kepada saya, tetapi satu pengiktirafan kepada keupayaan anak Sabah dalam menerajui agenda teknologi, inovasi dan pengkomersialan hasil penyelidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Menurutnya, Sabah mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab ekonomi teknologi, khususnya dalam bidang ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), tenaga hijau, bioteknologi dan industri berasaskan inovasi.

Katanya, kerjasama erat antara kerajaan, universiti dan sektor swasta mampu mempercepat pemindahan teknologi, menarik pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di negeri ini.