KOTA KINABALU: Pengumuman penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter bermula Julai depan disifatkan sebagai bukti bahawa reformasi ekonomi dan langkah penyasaran subsidi yang dilaksanakan Kerajaan MADANI mula memberi manfaat kepada rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, mekanisme subsidi bersasar menerusi penggunaan MyKad memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak.
Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja mengurangkan ketirisan malah membantu mengekang aktiviti penyeludupan yang selama ini menjejaskan keberkesanan sistem subsidi negara.
Beliau berkata, kerajaan akan terus melaksanakan reformasi yang mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkukuhkan ketahanan ekonomi negara.
