Kerajaan Negeri sumbang 30 buah bot dan enjin kepada PDRM

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyumbang sebanyak 30 buah bot dan enjin bernilai RM360,000 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tujuan menyelamat semasa bencana banjir dan juga keselamatan.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor menyerahkan bot dan enjin kepada Pesurujaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah di perkarangan Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji berkata bot-bot itu akan diagih-agihkan ke 10 daerah yang sering dilanda bencana banjir iaitu Beaufort, Tenom, Sipitang, Kota Marudu, Pitas, Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Penampang dan Kota Belud.

“Kita berharap dengan sumbangan yang kecil seumpama ini, dapat membantu meringankan sedikit beban pasukan keselamatan kita, iaitu PDRM dalam memantau dan membantu menyelamat semasa berlaku bencana banjir,” katanya.

Pada majlis sama, Hajiji turut menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada waris lapan anggota PDRM yang terkorban dan 12 orang lagi yang mengalami kecederaan dalam Peristiwa Tanduo, Lahad Datu bernilai RM60,000 dan RM50,000 untuk Tabung Khas Polis sempena Perayaan Hari Polis yang ke-215.

Sumbangan melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat SESB berjumlah RM110,000 itu telah diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Mohd Yaakob Jaafar kepada Datuk Idris Abdullah.

Pada majlis itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri turut menyerahkan bendera negeri Sabah dan sumbangan kepada anak jati Sabah, Adelinah Lintanga dari Kota Belud yang akan membawa bendera Sabah menawan Gunung Everest menerusi program pendakian “Everest Expedition 2022, Journey To The Top by Sabahan”.

“Kita bangga dengan usaha dan semangat yang ditunjukkan oleh Adelinah dan pendaki lain untuk menawan gunung tertinggi di dunia.

“Saya yakin beliau akan berjaya mengibarkan bendera Sabah di puncak Gunung Everest. Saya mendoakan mereka berjaya dan dipermudahkan segala urusan mereka,” katanya.