KOTA KINABALU: Sabah mendapat pertambahan kuota bagi rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sama ada untuk bina baharu ataupun baik pulih pada tahun ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim berkata bagi program rumah PPRT Bina Baharu, Sabah mendapat kuota sebanyak 700 unit rumah.
“Untuk program rumah PPRT Baik Pulih, Sabah akan menerima kuota sebanyak 2,900 unit rumah,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tempasuk Mohd Arsad Bistari bertanya adakah terdapat penambahan kuota bagi rumah PPRT Negeri Sabah untuk tahun ini dan pecahan kuota untuk daerah khususnya daerah Kota Belud.
Jahid berkata bagi agihan Rumah PPRT Bina Baharu untuk tahun ini, kementerian akan meneliti kaedah agihan tersebut berdasarkan kepada keperluan untuk setiap DUN atau daerah termasuklah daerah Kota Belud.