PUTATAN : Loji Rawatan Air Kecemasan (EWSS) Kasigui dijangka beroperasi Mei ini sekali gus mampu memproses lima juta liter air sehari.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, loji ini dikenal pasti dapat menambah kestabilan bekalan air bersih khususnya melibatkan penduduk Putatan serta selatan Kota Kinabalu.
Katanya, ini merupakan komitmen kerajaan bagi memastikan pembangunan infrastruktur dapat dipertingkatkan selaras dengan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Dalam tempoh sama, mencadangkan agar ada kajian dijalankan secara menyeluruh terhadap sistem perparitan daerah Putatan.
“Ini kerana kerap berlaku banjir kilat terutamanya ketika musim tengkujuh. Kajian ini sangat penting untuk memastikan keselamatan penduduk Putatan sentiasa terjaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri, di sini semalam.
Shahelmey merupakan Menteri Kerja Raya berkata, bagi memastikan rakyat menikmati kemudahan rumah sebanyak 1,000 unit rumah dipohon di bawah projek Perumahan Rakyat Malaysia (PRM) khususnya di Parlimen Putatan.
“Kita sudah mengenal pasti lokasi pembinaan ini di kawasan Lok Kawi. Jika diluluskan, ini merupakan peluang lebih ramai penduduk Putatan memiliki kediaman sendiri secara lebih selesa.
“Dalam tempoh sama, kita juga ada mencadangkan Dewan Mini Pasir Putih untuk dinaik taraf bagi meningkatkan kegunaannya dalam tempoh terdekat,” jelas Shahelmey.
Menurutnya, setakat ini memang wujud keperluan pembinaan satu hingga dua dewan baharu bagi memenuhi keperluan aktiviti masyarakat khususnya di kawasan Putatan pada masa depan.