39 kes baharu COVID-19 dicatatkan

Masidi Manjun (Gambar fail)

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan hanya 39 kes baharu positif COVID-19 pada 14 Mac 2021 berbanding 71 kes pada hari sebelumnya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kewujudan kluster baharu juga tidak ada. Daripada 39 kes baharu berkenaan, sebanyak 26 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala tiga kes, saringan kluster sedia ada empat kes dan enam kes adalah dari lain-lain kategori.

“Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh ialah 158 menjadikan jumlah kumulatif 52,869 orang. Seramai 482 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 192 orang di hospital dan 290 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam.

“Bilangan pesakit dalam Unit Rawatan Rapi pula ialah 15 orang dan enam orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam

Beliau berkata, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Lingkudau, Keningau bermula 15 Mac sehingga 28 Mac 2021.

Katanya, sehingga 12 Mac 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan 102 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 19 kes positif telah direkodkan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.

“Selain itu, aktiviti rekreasi laut dan sungai seperti scuba diving, snorkelling dan memancing adalah dibenarkan dengan hanya 50 peratus kapasiti dengan mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Katanya, muatan penumpang bagi bot laju terbuka dan tertutup yang membawa individu untuk aktiviti rekreasi laut dan sungai adalah dibenarkan mengikut kapasiti tertakluk kepada penjarakan fizikal satu meter di antara penumpang.

“Pindaan ini berkuatkuasa mulai 15 Mac 2021,” katanya.

Untuk penerima vaksin pula katanya, sehingga kini sejumlah 25,439 orang telah menerima vaksin fasa pertama bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

SabahNewsToday

Leave a Reply