KOTA KINABALU: Hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah perlu terus diperkasakan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berjalan lebih cekap dan berkesan.
Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab berkata, tiada ruang untuk agensi kerajaan bekerja secara bersendirian kerana kejayaan pembangunan negeri bergantung kepada kerjasama yang kukuh antara kedua-dua pihak.
“Kita perlu mengukuhkan sinergi dan memastikan setiap dasar dilaksanakan secara bersepadu demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Mesyuarat Perhubungan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan Negeri Sabah Bilangan 2/2026.
Beliau turut mengingatkan penjawat awam supaya mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi, mempercepat penyampaian perkhidmatan serta memanfaatkan inovasi digital bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran.
Seramai 161 ketua jabatan Persekutuan dan badan berkanun menghadiri mesyuarat berkenaan yang turut membincangkan isu pentadbiran, pembangunan dan keselamatan di Sabah.
