Kerajaan Negeri Sabah bukan Kerajaan Perpaduan kerana tidak seperti Kerajaan Perpaduan di Persekutuan – Jeffery
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah tidak boleh dianggap sebagai Kerajaan Perpaduan kerana tidak mematuhi atau pun mengikuti Kerajaan Perpaduan diperingkat Persekutuan.
Pengarah Pilihan Raya UMNO Sabah Jeffery Nor Mohamed berkata Kerajaan Negeri Sabah hanya ada dua gabungan saja iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah.
Manakala, katanya, parti-parti lain yang berada di Kerajaan Perpaduan dipusat tidak ada di Sabah.
“Jika ada anggota Kabinet Negeri Sabah yang dikatakan dari UMNO Sabah, saya rasa itu lantikan sendiri dari Ketua Menteri bukannya restu dari UMNO Sabah seperti mana yang diaksanakan sebelum-sebelum ini iaitu meminta nama dari parti yang bergabung.
“Sedangkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sendiripun dipecahkan kepada dua blok seolah-olah ada orang luar yang menggunakan konsep pecah dan perintah.. kepada kami UMNO Sabah perkara tidak boleh diterima,” katanya di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bahawa GRS tidak akan berpisah dengan rakan kerjasama dalam gabungan PH yang membentuk kerajaan negeri ketika ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut Hajiji kedudukan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bersama PH Sabah juga kekal.
Jeffery yang juga Ketua Bahagian UMNO Putatan berkata UMNO SABAH ada autonominya di Sabah.
“Kalau Hajiji menanggap UMNO Sabah sebagai dalam Kerajaan Negeri kenapa melayan UMNO Sabah seperti pembangkang di Sabah ianya terbukti dari siri Jelajah Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) di Kinabatangan, baru-baru ini.
“Kalau bersahabat mesti berterus terang dan jujur,” tegasnya.
Pada masa sama, Jeffery berkata semua perjawatan dari peringkat DUN, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Ketua Kamoung yang menyokong keputusan UMNO Sabah yang lalu ada yang sudah dipecat.
Katanya hanya tinggal segelintir daripada mereka yang sedang ditawarkan untuk menyertai masuk PGRS jika mahu dikekalkan jawatan.
Menurutnya pelantikan baru yang beliau dimaklumkan tidak lagi melibatkan mereka yang menyokong UMNO Sabah.
“Saya dimaklumkan keputusan Kerajaan Perpaduan dipusat tidak boleh lagi memecat mana-mana penjawatan sekiranya ianya orang UMNO Sabah tetapi nampak perkara serta pemintaan dari pusat seperti tidak dipedulikan,” jelasnya.
Jeffery juga menegur kenyataan dibuat beberapa pemimpin GRS yang tidak dapat lagi dibendung sehingga hari ini dengan masih lagi mengeluarkan kenyataan yang menguris hati orang-orang UMNO Sabah seperti perkara ini seolah-olah dibenarkan oleh pemimpin atasan GRS.
Beliau menegaskan pendirian UMNO Sabah belum mengadakan apa-apa perbincangan dengan mana-mana parti secara rasmi di Sabah.
Katanya buat masa ini tumpuan adalah menjadi semak dan imbang (check and balance) kepada Kerajaan Negeri Sabah kerana keutamaan UMNO Sabah ialah rakyat Sabah yang sekarang ini sedang dilanda krisis infrastruktur iaitu masalah air, elektrik dn kos sara hidup.