KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengalu-alukan usahasama syarikat francais dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bagi meneroka potensi perniagaan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata langkah itu dapat membantu merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
“Kita mengalu-alukan usahasama di antara syarikat francais dengan GLC negeri bagi menerokai potensi perniagaan yang akan memberi manfaat kepada negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara McDonald’s Malaysia dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini, hari ini.
MoU itu berkaitan kerjasama untuk membangunkan Hab Pembekalan Makanan Bersepadu yang lengkap untuk syarikat makanan segera itu di Malaysia Timur.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MIDE) Phoong Jin Zhe yang juga Pengerusi KKIP; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip.
Menerusi kerjasama itu, KKIP menyediakan tapak seluas empat ekar kepada McDonald’s untuk membina hab pembekalan makanan syarikat berkenaan.
Hab itu akan membabitkan tiga pembekal utama McDonald’s Malaysia iaitu Bimbo QSR, Tyson Foods dan HAVI Logistics yang akan mendirikan kilang, gudang dan pusat penghantaran.
Menandatangani MOU itu bagi pihak McDonald’s ialah Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar, manakala KKIP diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Laurence Kimkuan.
Tiga lagi syarikat, iaitu Bimbo QSR diwakili oleh Naib Presiden Transformasi Globalnya Natasha Galavotti diikuti Tyson Foods yang diwakili oleh Naib Presiden,Unit Perniagaan Malaysia Victor Sim dan HAVI Logistics Malaysia diwakili oleh Timbalan Pengurus Besarnya Dominic Alexander Lopez.
Hajiji yang turut merasmikan cawangan restoran McDonald’s pandu lalu itu, berkata kerajaan negeri menyambut baik rancangan McDonald’s mewujudkan Hab Pembekalan Makanan Bersepadu di KKIP dan membuka lebih banyak restorannya di Sabah.
Pada majlis sama, McDonald’s Malaysia turut menyerahkan pembayaran zakat perniagaan sebanyak RM100,000 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk diagihkan kepada golongan asnaf di Sabah.