Projek Komersial Pekan Baharu Pitas lonjak ekonomi rakyat luar bandar – Hajiji

PITAS: Projek Komersial Pekan Baharu Pitas mampu menyediakan banyak peluang pekerjaan serta perniagaan baharu khususnya kepada rakyat di kawasan luar bandar di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata projek mega Pekan Pitas ini akan dilengkapi dengan 68 unit Kedai Teres Dua Tingkat, Kedai Sesebuah Tingkat bersama 14 Unit Lot Industri sekali gus sebagai aspirasi baharu di Pekan Pitas.

Katanya, pembangunan ini membuktikan kesungguhan, keikhlasan serta keprihatinan kerajaan dalam usaha untuk  membangunkan kawasan luar bandar.

“Pitas sebelum ini dianggap sebagai daerah mundur, tetapi kini akan berubah wajah menjadi pekan komersial dalam tempoh terdekat. Kita akan membawa lebih banyak kemajuan lagi di daerah ini.

“Ini merupakan agenda serta keutamaan kerajaan bagi memastikan agar setiap setiap lapisan rakyat dapat menikmati pembangunan di negeri ini.

“Saya percaya dengan majlis pecah tanah pada hari ini, bermulalah satu titik tolak pembangunan untuk Pekan Baharu Pitas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di Pekan Baharu Pitas, di sini hari ini.

Hajiji berkata, beliau mahu semua pihak termasuk sektor swasta serta seluruh lapisan rakyat agar memastikan pembangunan komersial di Pekan Baharu Pitas berjalan dengan lancar sekali gus siap mengikut tempoh masa ditetapkan.