Sabah sasar 37 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2030

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyasarkan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) meningkat kepada sekitar 1,200MW atau 37 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri menjelang 2030.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sasaran itu akan dicapai menerusi pelaksanaan beberapa projek strategik yang digariskan dalam Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040).

Menurut beliau, pembangunan tenaga boleh baharu akan dipacu melalui projek solar berskala besar, hidroelektrik, tenaga angin, biojisim dan teknologi penyimpanan tenaga bagi memperkukuh kestabilan sistem bekalan elektrik negeri.

Katanya, Sabah kini mempunyai kapasiti tenaga boleh baharu sebanyak 307MW atau 16 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan.

“Bagi meningkatkan kapasiti tersebut, kerajaan sedang melaksanakan projek solar berskala besar 450MW, BESS 200MW/400MWh, tenaga angin 100MW serta dua projek hidroelektrik di Upper Padas dan Oriole Padas,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu dijangka membolehkan Sabah mencapai sasaran 50 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2035.