206 Geran Tanah Adat Negeri diberikan kepada pemohon, di Pitas – Hajiji

PITAS: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) menyerahkan sebanyak 206 geran tanah adat negeri (NT) kepada pemohon di daerah Pitas, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) terus komited serta memberi keutamaan bagi mempercepatkan permohonan tanah penduduk di negeri ini.

Hajiji bergambar kenangan bersama penerima geran NT di Pitas hari ini. Gambar oleh: JKM.

“Seperti kita sedia maklum, proses pengukuran tanah diduduki dan diusahakan penduduk kampung setempat diukur oleh JTU melalui Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) diperkenalkan sejak lebih 10 tahun lalu.

“Justeru, penyerahan geran pada hari ini membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk meneruskan program PANTAS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), di Pekan Baharu Pitas, di sini pada Khamis.

Hajiji berkata, pemberian geran tanah menerusi Program PANTAS dimulakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2011, bertujuan memastikan pengeluaran geran berstatus NT untuk tanah hak adat anak negeri (NCR) yang sudah lama diduduki bagi mengatasi kelewatan dalam proses permohonan biasa sebelum ini.

“Pemberian geran tanah ini sudah dilakukan BN sejak lebih 10 tahun lalu. Ini mungkin rakyat tidak tahu, tetapi kami dalam Kerajaan GRS-BN tidak suka berpolitik sahaja, apa yang kami lakukan sekarang ialah bekerja untuk menunaikan janji kepada rakyat menerusi SMJ.

“Banyak lagi program yang akan kita lakukan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran,” katanya.

Pada majlis itu, Ketua Menteri turut menyaksikan penyerahan dan pewartaan rizab perkampungan bagi 10 buah kampung daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Sawit Kinabalu kepada Pejabat Daerah Pitas.

“Saya telah berbincang dengan Pengarah Urusan Sawit Kinabalu agar dapat memberi tanah kepada rakyat dan ia direalisasikan hari ini.

“Kita tidak mahu rakyat menjadi pelarian di kampung sendiri kerana tidak ada tanah, berharap rakyat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan GRS- BN,” katanya.