KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menggesa kerajaan Persekutuan menilai semula pelaksanaan subsidi bersasar BUDI MADANI Diesel supaya lebih sesuai dengan keadaan di Sabah.
Beliau berkata keluasan negeri, jarak perjalanan yang jauh dan kebergantungan masyarakat terhadap diesel memerlukan pendekatan berbeza berbanding negeri lain.
Menurutnya, peningkatan kos operasi akibat pelaksanaan subsidi bersasar boleh memberi kesan kepada petani, nelayan, pengusaha kecil dan golongan belia yang menggunakan kenderaan diesel untuk aktiviti ekonomi.
Nizam berkata kerajaan perlu terus mendapatkan pandangan rakyat, kerajaan negeri dan pemain industri supaya pelaksanaan dasar itu kekal adil dan praktikal.
