KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sebaiknya mengurangkan berpolitik dan menumpukan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri yang masih dilihat gagal menyelesaikan masalah utama rakyat.
Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir berkata masalah bekalan air yang masih lagi berlaku setiap minggu bukan sahaja di kawasan luar bandar malahan di kawasan bandar termasuk ibu negeri Kota Kinabalu sehingga mengganggu perniagaan restoran dan hotel-hotel.
Katanya begitu juga dengan permasalahan elektrik, jalan raya, bekalan makanan asas yang sering kehabisan stok dan banyak lagi permasalahan rakyat yang perlu diselesaikan oleh Kerajaan Negeri.
“Dengarlah keluhan rakyat yang semakin hari semakin susah atas tekanan ekonomi hari ini.. tentang politik itu biarlah, tunggu masa dan saya yakin rakyat akan menghukum pentadbiran yang gagal menyelesaikan masalah rakyat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Suhaimi yang juga Ketua Bahagian UMNO Libaran berkata Gagasan Rakyat mahu pun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukanlah parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini kerana GRS hanya didaftarkan pada Februari 2022 sedangkan PRN Sabah berlangsung September 2020.
Katanya mereka bertanding menggunakan Perikatan Nasional (PN) pada PRN lalu, sepatutnya mereka perlu menjaga mandat rakyat yang mengundi mereka menggunakan tiket PN.
Menurutnya semua orang tahu ramai ahli menyertai parti mereka kini hanya kerana mereka ditawarkan jawatan tertentu dan diugut untuk dipecat jika tidak menyertai parti mereka.
Beliau berkata ini diakui sendiri oleh Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Ruslan Muharam yang berkata “berhenti merampas ahli kompenen GRS” dan beliau juga turut berkata perkara itu melibatkan perbuatan “merasuah” ahli parti lain seperti mana yang dipetik daripada akhbar Daily Express keluaran pada 20hb November 2023.
“Ini bukti yang jelas bahawa kemasukan ahli parti lain kepada parti mereka melibatkan “tawaran” atau pun “rasuah” bagi bertujuan ahli parti menyertai mereka kerana terpaksa dan bukannya atas dasar perjuangan kepada parti mereka.
“Sesuatu yang memalukan jika rakan kompenan sendiri menyatakan tidak senang dengan perkara tersebut,” katanya.
Berbeza pula dengan parti pembangkang, Suhaimi berkata, yang tidak menawarkan jawatan selain hanya perjuangan untuk rakyat, namun ramai ahli UMNO Sabah yang masih kekal berprinsip dan ada saja orang baru yang mendaftar jadi ahli terutamanya anak-anak muda.