Hanya Lesen Pemerhatian bagi perlombongan emas legakan 3,000 penduduk di Ranau

KOTA KINABALU: Keputusan hanya Lesen Pemerhatian (Prospecting License) dikeluarkan bagi syarikat swasta berkaitan isu perlombongan emas di Bukit Tompong melegakan lebih 3,000 penduduk di Kampung Bongkud dan Namaus di Ranau.

Pengerusi jawatankuasa bantahan itu, Pita Yusuf berkata, jika benar bukannya lesen menggali ini dikeluarkan ia merupakan berita gembira agar tidak timbul sebarang kekeliruan dalam kalangan penduduk.

Menurutnya, sebelum ini mesyuarat jawatankuasa diwujudkan bagi membantah rancangan syarikat menggali emas di bukit itu bagi mempertahankan persekitaran semulajadi di kawasan tersebut.

“Jika ada cadangan lain selepas ini kerja pemerhatian ini..kami tegaskan di sini membantah sekeras-kerasnya aktiviti perlombongan emas di Bukit Tompong yang akan menjejas kehidupan penduduk kampung berhampiran.

“Isu ini menyebabkan kebimbangan besar dalam kalangan penduduk terutama rancangan mereka untuk menjalankan kerja-kerja mencari gali emas oleh syarikat itu,” katanya di sini hari ini.

Pita berkata, kawasan perlombongan ini membabitkan kawasan tanah pertanian, perumahan, ladang, sekolah, klinik serta kawasan tadahan air.

“Lebih mendukacitakan kawasan sungai menjadi punca pendapatan penduduk kampung dengan aktiviti ‘bombon’ (tagal) akan terjejas akibat penerokaan perlombongan emas ini dilaksanakan,” katanya.

Sebelum ini Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, berkata untuk memulakan penggerudian emas, terdapat banyak terma dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh mana-mana syarikat.

“Yang pertama ialah Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan satu lagi ialah Penilaian Kesan Sosial (SIA). Yang kedua itu adalah syarat baru yang tidak diperlukan semasa pembukaan lombong Mamut.

Esok Sabah News Today akan menyiapkan siri kedua berkaitan isu perlombongan emas di Bukit Tompong berhampiran Kampung Bongkud dan Namaus, Ranau.