LABUAN: Wilayah Persekutuan merangkumi tiga wilayah Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bakal menyambut ulang tahun ke-50 tahun dengan pelbagai program menarik dan inklusif.
Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) Datuk Rosida Jaafar berkata, sambutan yang akan bermula pada 1 Oktober ini dengan pelbagai program dan acara kemuncaknya ialah pada 1 Febuari 2024 iaitu genapnya 50 tahun penubuhan Wilayah Persekutuan.
“JWP telah merancang beberapa program menarik dan inklusif bagi menandakan acara bersejarah yang kita akan laksanakan bermula 1 Otober depan.
“Sambutan ini dijangka menjadi sambutan besar-besaran yang akan merapatkan masyarakat dan memaparkan keunikan identiti setiap Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika beramah mesra bersama rombongan Persatuan Penggiat Media Labuan di Seri Wilayah di Putrajaya pada Jumaat lepas.
Justeru itu, Rosida menyeru semua agensi kerajaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berganding bahu untuk menjayakan sambutan tersebut yang dijadikan sejarah dan dikenang oleh generasi masa hadapan.
Beliau berkata, antara program yang dirancang untuk memeriahkan sambutan itu ialah Paspot 50WP, Sahabat 50WP, Wacana Ilmu Malaysia MADANI 50WP, Suara@50 WP dan Teaterial Gemuruh 50WP dan Wilayah Persekutuan Berselawat.
Katanya lagi, program itu juga turut menggalakkan penyertaan daripada semua pihak agensi kerajaan, agensi swasta dan masyarakat berbilang kaum sebagai satu himpunan rakyat sekaligus mencerminkan kepada perpaduan, kepelbagaian kaum.
Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada tahun1974, manakala Labuan pada tahun 1984 dan Putrajaya pada 2001.