Solat tanpa penjarakan fizikal masih belum dibincangkan di kebanyakan negeri

KUALA LUMPUR, 9 Mac — Aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau yang boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal apabila negara memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ bermula 1 April ini, masih belum dibincangkan di kebanyakan negeri.

Di KEDAH, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) Datuk Mohd Yusri Md Daud berkata ketetapan baharu mengenai perkara itu adalah tertakluk kepada perkenan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

“Buat masa ini mesyuarat bagi menentukan perkara itu masih belum diadakan,” katanya.

Di PERAK, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin berkata perbincangan berhubung perkara itu akan diadakan dalam masa terdekat dan keputusannya akan dimaklumkan kelak.

Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang berkata meskipun perbincangan belum dibuat, pihaknya bersedia untuk mengikut saranan berkenaan.

“Kami belum buat keputusan lagi berhubung aktiviti di masjid dan surau tanpa penjarakan fizikal, namun secara dasarnya jika itu (cadangan) yang disyorkan, kami akan ikut ke arah tersebut,” katanya.

– BERNAMA