18 kes kematian dan 2,532 sembuh di Sabah

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 18 kes kematian pada hari ini iaitu enam kes di Kota Belud, tiga kes di Kota Kinabalu, dua kes di Lahad Datu dan masing-masing satu di Sandakan, Tambunan, Kota Marudu, Kinabatangan, Keningau, Tuaran serta Beluran.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun yang memaklumkan ini berkata, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.

Katanya, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 2,532 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 322,114 orang.

Manakala 1,251 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 837 orang di hospital, 395 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 16 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / penjara dan tiga orang di fasiliti swasta.

“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 53 orang merangkumi 47 di ICU/repurposed kritikal care serta enam di open ward (HDW/kubikel akut) dan 22 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated),” katanya.

Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah berkata, Sabah mencatatkan sebanyak 1,352 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 355,892 kes.