Taman Perindustrian Baharu Kudat akan diwujudkan – Hajiji

KOTA KINABALU : Sebuah Taman Perindustrian Baharu akan diwujudkan di Kudat sebagai tambahan kepada taman perindustrian sedia ada, di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, penubuhan ini

untuk menarik lebih ramai pelabur sekali gus membangunkan kawasan di utara Sabah.

Katanya, taman perindustrian baharu di Kudat ini bukan sahaja meningkatkan ekonomi negeri malah berupaya memberi peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Pembangunan taman perindustrian di Kudat ini merupakan kerjasama pintar antara kerajaan bersama pemilik tanah di kawasan terbabit.

“Konsepnya, kita akan menyewa tanah yang terlibat dalam taman itu sekali gus memberi pendapatan kepada mereka yang terlibat,” katanya di sini hari ini.

Hajiji berkata, selain aspek pelaburan dan tiga tonggak utama dalam Sabah Maju Jaya (SMJ) dilaksanakan kerajaan memberi manfaat kepada rakyat termasuk bantuan serta pemberian biasiswa.

”Ini adalah antara usaha kerajaan negeri untuk membangunkan modal insan di negeri ini.

“Kita mahu agar Jabatan Penyiaran Sabah membantu menyampaikan segala inisiatif dan agenda kerajaan kepada rakyat hingga ke peringkat akar umbi,” jelas Hajiji.