SANDAKAN: Sesi menandatangani surat niat (LoI) antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dimeterai di Fakulti Pertanian Lestari (FPL), UMS Sandakan bakal menyaksikan perkongsian kepakaran dalam bidang pertanian dan agroteknologi.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, bidang pertanian memainkan peranan penting dengan memastikan ketersediaan dan kecukupan makanan agar berada di tahap yang selamat sejajar dengan isu sekuriti makanan atau food security.
“Kepakaran penyelidik di Fakulti Pertanian Lestari akan sentiasa dipergiat untuk memikirkan strategi dan inovasi baharu bagi membantu pengusaha tani meningkatkan hasil pengeluaran, seterusnya meningkatkan sekuriti makanan negara.
“Diharapkan dengan adanya peluang dan kerjasama yang dimeterai bersama UniMAP, insya-Allah kita akan maju setapak ke hadapan dengan mengadakan Perjanjian Persefahaman (MoA) antara kedua-dua universiti, maka segala kepakaran dari kedua-dua pihak dapat dikongsi bersama,” katanya semasa berucap dalam Program Titian Kasih 2023 di FPL baru-baru ini.
Pada sesi menandatangani LoI tersebut, UMS diwakili oleh Datuk Kasim sementara UniMAP pula diwakili Naib Canselornya, Profesor Dato’ Ts. Dr. Zaliman bin Sauli.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga merangkap Canselor UniMAP turut berkenan menyaksikan sesi menandatangani LoI tersebut.
“UniMAP yang terkenal dengan bidang teknologi kejuruteraan, diharapkan dapat membantu UMS dalam meningkatkan kepakaran kejuruteraan, mungkin dari segi teknologi pertanian, pembajaan, penanaman dan bermacam lagi yang melibatkan kejuruteraan mekanikal.
“Melalui kolaborasi dan semangat yang tinggi seperti ini antara UniMAP dan UMS, segala visi dan misi yang telah ditetapkan mampu direalisasikan.
“UMS dan UniMAP bersetuju membangunkan kerjasama dalam projek penyelidikan, penerbitan dan pembangunan akademik,” katanya.
Tambah Kasim lagi, pertukaran maklumat, ahli fakulti, pelajar,khidmat masyarakat, penganjuran seminar, latihan atau kursus, penyeliaan pelajar pascasiswazah dan sebarang bidang kerjasama lain yang akan dipersetujui bersama juga turut termaktub dalam kerjasama tersebut.
“Terima kasih dan syabas diucapkan kepada semua yang terlibat dan ternyata ini adalah platform yang dinanti-nantikan untuk menggerakkan semua pakar dan penyelidik kita.
“Adalah diharapkan agar segala yang diilhamkan pada hari ini akan tercapai dan menjadi sesuatu yang realiti demi kemajuan dan kejayaan antara kedua universiti dan negeri khususnya, serta negara Malaysia amnya.