KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus menjadikan pendidikan sebagai agenda utama pembangunan negeri dengan memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, TVET, STEM dan kecerdasan buatan (AI).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan akses pendidikan yang lebih baik kepada rakyat termasuk pembinaan sekolah, penyediaan kemudahan ICT serta bantuan pendidikan.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut meneruskan pelbagai bantuan termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer, Bantuan Khas Tunai Peperiksaan, SENTOSA dan bantuan tiket penerbangan pelajar Sabah.
“Kerajaan akan terus melabur dalam pendidikan kerana ia merupakan asas penting kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika merasmikan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) Kali Keempat Tahun 2026.
Dalam majlis sama, Hajiji turut menyampaikan anugerah kepada 33 guru menerusi lima kategori penghargaan di peringkat negeri Sabah.
