KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga kolej kediaman Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 18 April ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan ujian saringan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap 133 pelajar mendapati 19 daripadanya positif Covid-19 di kolej kediaman terbabit.
“KKM mengesahkan telah berlaku penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penghuni di ketiga-tiga kolej kediaman tersebut dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan pergerakan penghuni dapat dikawal bagi mengelakkan penularan Covid-19 ke komuniti luar kolej kediaman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Antara tiga kolej kediaman UMS yang menjalani PKPD ialah Kolej Kediaman Tun Mustapha, Kolej Kediaman Tun Fuad dan Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae.
Sementara itu, Kerajaan juga akan melaksanakan PKPD di Kampung Pagalungan Ansip, Keningau, Sabah bermula 5 April sehingga 18 April 2021.
Ia selepas KKM mengesan 15 kes positif Covid-19 daripada 146 ujian saringan yang dijalankan di lokasi terbabit.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk yang terlibat dan seterusnya menghalang penularan dalam komuniti,” katanya.
Selain itu, turut dikenakan PKPD melibatkan Kampung Kalindukan, Nabawan, Sabah bermula hari ini hingga 18 April ini.
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 99 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak lapan kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“Pelaksanaan PKPD ini memudahkan tindakan kawalan Covid-19 dijalankan dengan cepat dan berkesan, seterusnya menghalang penularan dalam komuniti,” katanya lagi
SabahNewsToday