Struktur semula Lembaga Sungai-sungai Sabah, tambah baik bekalan air bersih

Bung Moktar (Gambar fail)

SEMPORNA (Bernama): Lembaga Sungai-Sungai Sabah yang tidak aktif sebelum ini perlu distruktur semula ke arah memantapkan pengurusan sungai termasuk kelestarian sungai yang menyumbang kepada bekalan air bersih yang lebih baik, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang mencadangkan perkara berkenaan berkata melalui penstrukturan semula lembaga itu, semua sungai di Sabah akan diwartakan sebagai hak milik kerajaan negeri untuk dikawal selia dengan lebih baik.

“Hal ini kerana Sabah berdepan dengan masalah kekurangan bekalan air bersih ketika ini dengan 23 daripada 84 loji air di Sabah sudah tidak berfungsi, sungainya sudah kering, dicemari dengan bahan buangan termasuk berdepan hakisan tebing sungai.

“Hal ini antaranya bagaimana mahu membekalkan air bersih kepada penduduk Sabah kalau sungai tidak boleh menyalurkan air, kita terlepas pandang dalam soal-soal begini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran pemuliharaan terumbu karang di Taman Marin Tun Sakaran di sini, hari ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata faktor kurang komitmen ke arah melestarikan sungai-sungai di Sabah menyebabkan wujud perkara termasuk tanah tebing sungai diterokai selain sungai tercemar dengan bahan buangan.

Sementara itu, Bung Moktar mahu usaha menambah baik dan memulihara khazanah marin di negeri ini dipertingkatkan dengan pelbagai program kesedaran melalui kerjasama daripada Taman-Taman Sabah, Yayasan Sabah dan badan bukan kerajaan.

“Misalnya, di Semporna ada 10 pulau tercantik di dunia dengan tarikan khazanah marin yang menarik ramai pelancong antarabangsa, namun jika kemusnahan terumbu karang akibat faktor manusia, cuaca, mesti ada usaha mengatasi masalah ini,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata pembangunan infrastruktur Semporna perlu seiring dengan kemajuan sektor pelancongan di daerah itu.

“Antaranya, pembangunan terancang saya harap Pejabat Daerah, pegawai-pegawai jabatan kerajaan berkaitan dan pemimpin di Semporna beri saya satu cadangan baik yang boleh saya bantu untuk kita bina ‘dual carriageaway’ (jalan raya berkembar) di sini,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply