KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong menafikan beliau bakal keluar parti itu mengikut jejak sebahagian besar ahli jawatankuasa (AJK) WARISAN
Kota Kinabalu yang diketuainya.
Menerusi satu kenyataan semalam, Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN) itu, berkata beliau kekal setia bersama WARISAN dan tidak akan meninggalkan parti seperti sebahagian besar AJK di bahagiannya yang keluar parti.
Semalam, 14 AJK WARISAN Kota Kinabalu, termasuk timbalan ketua bahagian, naib ketua dan ketua wanita mengumumkan keluar parti serta menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Tidak, saya tidak meninggalkan parti dan saya sudah menyatakan pendirian saya kepada parti dan pengundi saya. Pemimpin dan ahli datang dan pergi tetapi perjuangan untuk Sabah tetap kekal,” katanya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan 2023) berkaitan larangan ADUN bertukar parti.
RUU itu masih dalam proses untuk diwartakan yang bermakna mana-mana ADUN keluar parti selepas undang-undang itu diwartakan bakal berdepan pengosongan kerusi.
Junz berkata, WARISAN Kota Kinabalu yang diketuainya tidak tergugat dengan tindakan pemimpin yang mengambil keputusan meninggalkan parti.
“Kita ada barisan penaja baharu yang akan dicadangkan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bahagian yang akan diadakan selari dengan perlembagaan parti dan prosedur Pendaftar Pertubuhan (ROS),” katanya.