KOTA KINABALU: Kerajaan negeri diminta memberi keutamaan kepada ketua agama serta petugas rumah-rumah ibadat sebagai penerima suntikan vaksin COVID-19 fasa pertama di Sabah.
Gesaan itu disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah memandangkan masjid, gereja, tokong, kuil sikh dan rumah ibadat lain di Sabah sudahpun mula beroperasi menjalankan aktiviti keagamaan masing-masing.
“Selain kumpulan imam, pastor dan petugas rumah ibadat…kita juga mahukan supaya guru dan pendidik diletakkan sebagai petugas barisan hadapan yang perlu divaksin.
“Memandangkan sekolah dan intitusi pengajian tinggi telah mula dibuka secara bersasar kumpulan itu perlu didahulukan sebagai penerima vaksin pertama kerana mereka berisiko tinggi berhadapan dengan orang ramai dan penuntut,” katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan di Kota Kinabalu hari ini.
Masiung yang dilantik Pengerusi Lembaga Perumahan dan Bandar (LPPB) bertaraf menteri berkata, pemberian vaksin kepada petugas agama terbabit adalah wajar tanpa merasa khuatir sekiranya mereka yang jadi penyebab para jemaah dijangkiti COVID-19.
Walaupun, setiap rumah ibadat dan sekolah-sekolah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tersendiri tetapi langkah itu kurang membantu apatah lagi anak-anak sekolah tahap satu, dua dan tiga yang masih mentah tentang risiko pandemik ini.
Beliau juga meminta Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah meletakkan keutamaan kepada warga pendidik sebagai penerima vaksin fasa pertama kerana langkah itu akan mengurangkan kebimbangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Katanya, suntikan vaksin COVID-19 tidak melibatkan individu berusia 18 tahun ke bawah buat masa ini dan disebabkan itu, murid perlu dilindungi melalui pemberian vaksin kepada guru- guru yang mengajar.
Mengulas lanjut mengenai isu itu, Masiung berkata, kerajaan tidak harus memandang ringan perkara ini kerana golongan ketua agama dan petugas rumah ibadat, guru-guru dan pendidik perlu mendapat keutamaan dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 fasa pertama di peringkat negeri yang dijangka bermula hujung minggu ini.
Ini kerana katanya, kumpulan itu berisiko tinggi kerana sentiasa berhadapan dengan orang ramai ketika menjalankan tugas masing-masing.
Masiung berkata, kerajaan perlu mengambil perhatian serius dalam isu ini kerana sekolah sudahpun dibuka mulai Isnin lalu, manakala rumah ibadat sudahpun dibenarkan beroperasi minggu lalu.
Menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan fasa pertama akan melibatkan petugas barisan hadapan terdiri petugas perubatan dan pasukan keselamatan serta wakil rakyat.
Fasa kedua melibatkan populasi yang mempunyai komorbiditi seperti warga emas dan penghidap penyakit kronik, manakala fasa ketiga akan meliputi warga lain berusia 18 tahun ke atas.
SabahNewsToday