KOTA BELUD: Seorang lelaki warga Indonesia yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika menjalankan aktiviti menarik pasir di Kampung Paka-Paka ditemukan lemas pada Jumaat.
Mangsa, Vinsensius Sare Tukan, 42, ditemukan oleh Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah pada jam 11.20 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud, PKPgB Elge Bakuk berkata, mangsa ditemukan pada kedalaman kira-kira lapan meter di lokasi yang sama beliau dipercayai terjatuh.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat melibatkan beberapa agensi termasuk PDRM, APM dan PPDA sebelum mangsa berjaya ditemukan.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 12.30 tengah hari,” katanya.
