Kerajaan memperkasakan pelan Pembangunan kebudayaan di Sabah – Hajiji

TUARAN: Kerajaan meluluskan empat projek berimpak besar membabitkan peruntukan sebanyak RM4.5 juta Projek Pemetaan Budaya 2021-2025 Pelan Pembangunan Kebudayaan Negeri Sabah 2020 -2030.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dalam tempoh sama projek meningkatkan produk pelancongan budaya Pusat Kebudayaan Murut Sabah di Tenom serta projek meningkatkan infrastruktur Pusat Kebudayaan Sabah Penampang sekali gus ini sedang dalam proses pelaksanaan.

“Kerajaan memperuntukkan RM9.5 juta kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dalam Belanjawan 2023 Sabah untuk melaksanakan pelbagai program bagi memulihara kekayaan dan warisan seni budaya etnik negeri ini.

“Ia termasuk Hentian Budaya (Cultural Pit-Stop) dirangka untuk memperkasakan industri pelancongan berasaskan budaya dengan dua lokasi baharu di Kota Belud dan Tawau,” katanya.

Hajiji menyeru semua lapisan masyarakat di negeri ini agar terus memperkasa dan memelihara seni, budaya dan adat tradisi bangsa dengan sebaik-baiknya.

Bercakap mengenai festival ini Hajiji merupakan Presiden Persatuan Rumpun Bajausama Sabah berkata, Festival Duang mampu menjadi wadah untuk mengetengahkan budaya serta tradisi kepelbagaian etnik di Sabah kepada pengunjung dan generasi muda.

“Festival ini akan dianjurkan setiap tahun pada bulan Februari dan telah dimasukkan dalam kalendar pelancongan. Saya yakin festival ini dapat mengangkat nama daerah Tuaran sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

“Selain Pusat kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, di Tuaran ini juga banyak tempat-tempat menarik seperti Tembara River Cruise, Taman Buaya, Linangkit Cultural Village, Rumah Terbalik, Rumah Semut dan banyak lagi di daerah Tamparuli dan Kiulu,” katanya.

Hajiji juga berharap semua persatuan etnik di negeri ini akan terus membangunkan dan memartabatkan budaya masing-masing bagi memastikan ia tidak pupus, sebaliknya dapat dikenali ke peringkat antarabangsa.