Shahelmy serah kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk buat keputusan

PUTATAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya, satu-satunya Ahli UMNO yang menyatakan pendirian menyokong Kerajaan Negeri Sabah ketika ini, menyerahkan kepada Lembaga Disiplin parti untuk membuat keputusan berhubung tindakannya itu.

Timbalan Ketua Menteri III  dan Ahli Parlimen Putatan itu berkata beliau sedia berdepan sebarang tindakan dan tidak mahu mendahului Lembaga Disiplin UMNO dengan melakukan perlakuan atau kenyataan yang kurang wajar.

“Saya seorang daripada ADUN UMNO Sabah yang dipanggil Lembaga Disiplin untuk membuat pembelaan atas pertuduhan yang telah dinyatakan. Selesai sudah menyatakan pembelaan saya.

“Kita berserah kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk membuat keputusan, jadi kita tunggu,” katanya di sini hari ini.

Selain Shahelmy, yang merupakan ADUN Tanjung Keramat, empat lagi ADUN berpendirian sama telah dipanggil oleh Lembaga Disiplin UMNO iaitu Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin).

Bagaimanapun, Jasnih, James, Mohd Arshad dan Yusof bersama seorang lagi ADUN UMNO iaitu Datuk Hamild Awang (Balung) mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Selasa lepas.

Pada 6 Jan lepas, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata parti itu menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Sabah dan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

Ditanya tentang tindakan ADUN terbabit yang meninggalkan UMNO, Shahelmy berkata itu adalah hak mereka namun beliau menganggap keputusan tersebut dibuat bagi mengukuhkan kestabilan politik di Sabah.

“Politik yang stabil penting agar pentadbiran dan agenda pembangunan negeri seperti Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dapat dijayakan,” katanya.